12 Mei 2014

Penyakit psoriasis adalah penyakit yang kronik!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Penyakit psoriasis adalah penyakit yang kronik, tidak berjangkit dan mempunyai ciri-ciri seperti tompok yang merah, tebal dan bersisik.
Psoriasis melibatkan antara dua hingga tiga peratus penduduk di Malaysia. Ia boleh terjadi kepada semua peringkat umur, dari kanak-kanak hingga warga emas.
Bagaimanapun, lebih banyak kes berlaku di kalangan mereka yang berumur antara 20 hingga 30 tahun, atau 60 tahun ke atas.
Psoriasis boleh diwarisi melalui faktor genetik secara ‘polygenic’ atau autosomal dorminant with incomplete penetrance dan di HLA-C kromosom 6.
Faktor merangsang psoriasis
* Cahaya matahari
- Cahaya matahari merangsang 10 peratus daripada pesakit psoriasis walaupun sebahagian besar keadaan pesakit menjadi lebih baik dengan pendedahan cahaya matahari.
* Ubat-ubatan
- Ubat seperti beta blockers untuk rawatan darah tinggi dan sakit jantung, lithium untuk sakit psikiatri dan ubat untuk rawatan malaria juga boleh merangsang psoriasis.
* Jangkitan kuman
- Jangkitan seperti jangkitan sakit tekak oleh bakteria Streptococcus juga boleh merangsang ‘guttate psoriasis’.
* Fenomena ‘koebner’
- Trauma pada epidermis dan dermis seperti kesan garu, luka atau pembedahan akan menyebabkan psoriasis tumbuh di tempat tersebut. Fenomena ini dikenali sebagai fenomena ‘koebner’.
Proses pembentukan psoriasis
Psoriasis boleh berlaku atau terbentuk di mana-mana bahagian kulit, dari kulit kepala hingga ke hujung kaki termasuk bahagian kuku.
Penyakit ini terjadi disebabkan abnormaliti pada sistem imuniti, atau lebih khusus pada sel limfosit T dari kumpulan sel darah putih.
Bagi kulit normal, proses penggantian kulit berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa 28 hari sebelum sel mati itu tertanggal daripada badan.
Dalam kes psoriasis, kecelaruan sistem imuniti badan akan mempercepatkan proses kitaran kulit kepada empat hari sahaja.
Ini menyebabkan sel kulit membahagi dengan cepat (secara berlebihan atau dipanggil proliferasi) iaitu 20 kali ganda dari kadar biasa.
Pada peringkat awal, psoriasis timbul dalam bentuk bintik kecil merah dan kemudian menjadi tompok merah.
Tompok merah ini kemudiannya menebal dan mengeras. Lapisan keras berkenaan seterusnya akan menjadi sel-sel mati berwarna perak (silvery scales).
Kepingan ini amat mudah dikopek, meninggalkan permukaan yang berdarah. Tompok-tompok ini juga berasa panas dan seperti terbakar.
Tahap penyakit
Tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang terlibat.
* Tahap ringan (mild)
- Serangan psoriasis yang melibatkan kurang daripada dua peratus permukaan kulit.
* Sederhana (moderate)
- Serangan yang melibatkan tiga hingga 10 peratus permukaan kulit.
l Teruk (severe)
Jika lebih 10 peratus bahagian kulit terlibat.
Kesan psoriasis

* Kesan psikologi
Pesakit psoriasis berasa malu dan tertekan dengan keadaan kulit bersisik dan merah terutamanya jika sisik-sisik psoriasis jatuh bertaburan di baju, tilam dan lantai.
Masyarakat yang tidak memahami penyakit ini akan menjauhi diri dari pesakit menjadikan pesakit terasing dan murung.
Ini mungkin kerana mereka tersalah sangka penyakit ini boleh berjangkit atau tidak selesa dengan keadaan kulit pesakit yang sedikit berbeza.
* Artritis
Pesakit psoriasis boleh juga mendapat masalah artritis yang disebabkan oleh psoriasis yang dinamakan psoriatic arthropathy.
Ia berlaku kepada lima peratus pesakit psoriasis. Jari tangan, kaki dan sendi-sendi seperti siku, lengan, bahu, lutut, buku lali dan punggung juga boleh menjadi sakit dan bengkak.
Rawatan
Banyak kaedah boleh digunakan untuk merawat psoriasis antaranya ubat sapu, ubat makan dan fototerapi.
Di antara ubat sapu yang digunakan untuk merawat pesakit adalah seperti kortikosteroid, vitamin D3, antralin, terapi dan tar arang.
Ubat makan pula adalah seperti retinoid, methotrexate, ciclosporin, hydroxyurea sementara fototerapi adalah rawatan yang menggunakan terapi sinar UVA atau UVB. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada ubat dapat menyembuhkan sepenuhnya penyakit ini.

Sekian. 

2 ulasan:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.