25 Disember 2014

Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 di Putrajaya dibatal.




PUTRAJAYA: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 di Putrajaya 31 Disember ini dibatalkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 
Laporan awal hari ini menyebut Perbadanan Putrajaya (PPj) akan berbincang dengan penganjur konsert Ambang 2015 yang dijadual diadakan bagi meraikan sambutan tahun baharu, untuk membatalkan acara itu bagi menghormati mangsa banjir.Dalam laman Facebook PPj, perbadanan itu menyatakan, PPj prihatin terhadap semua pandangan dan musibah banjir yang menimpa negara. 
“Program sambutan Ambang Tahun Baharu Putrajaya 2015 ini adalah program Kumpulan AmBank dan pihak kita sedang dalam usaha untuk berbincang dengan pihak penganjur mengenai perkara ini (batalkan acara),”katanya.Sementara itu, jurucakap PPj yang dihubungi Bernama di sini hari ini berkata, pihaknya hanya menunggu keputusan daripada Kumpulan Ambank sama ada untuk meneruskan atau membatalkan acara itu. 
Sementara itu, kebanyakan pengunjung Facebook PPj berharap sambutan ambang tahun baharu itu dibatalkan dan digantikan dengan program keagamaan atau ilmiah untuk mendoakan kesejahteraan mangsa banjir.“Tukar pengisian program dengan membuat solat hajat serta program keagamaan lain,” kata Rusydi Akmal yang sependapat dengan sebahagian besar pengguna Facebook lain yang mencadangkan acara itu dibatalkan.
Beberapa pengguna Facebook antaranya Ziti Norazila, Sabriaery Aery, Harith Hashim dan Zulkanaini Daut pula berharap wang peruntukan untuk menganjurkan konsert berkenaan dapat disalurkan kepada mangsa banjir.Konsert yang dijadual diadakan pada malam 31 Disember itu akan menampilkan persembahan seramai 10 artis tersohor tempatan serta pertunjukan bunga api selama kira-kira 10 minit selepas kiraan detik 12 malam. - Bernama

Sumber :  Berita Harian 

1 ulasan:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.